UMNO Tarik Diri Dari Kerajaan Perikatan Nasional?

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR: Biro Politik UMNO yang bermesyuarat malam ini membuat pertimbangan untuk UMNO  menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberikan syarat baru kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

“Semua pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Majlis Tertinggi (MT) termasuk mereka yang sedang menjalani kuarantin bersetuju dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di lobi Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mesyuarat dua sesi selama hampir lima jam itu dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta semua ketua sayap parti.

“UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemic Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan Negara.

UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan Negara,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media malam ini.

Dalam masa yang sama, Biro Politik juga menetapkan persidangan UMNO Bahagian seluruh Negara pada 6 hingga 8 November 2020, serentak di seluruh Negara dan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing manakala Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 17 hingga 19 Disember 2020.

 

Artikel Berkaitan