Telefon Di Rampas Ketika LiveFB ….. “Saya Diminta Jangan Campuri Urusan DJ Tersebut” : Azman Kang

by Ketua Pengarang

Kuala Lumpur, 13 April: “Saya terkejut melihat tindakan wanita terbabit merampas telefon bimbit milik mangsa.

“Sampai sekarang saya tidak tahu apa yang berlaku kepada mangsa selepas dia meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dibayar gaji sebagai deejay di sebuah kelab,” kata aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah.

Menurutnya, dia sedang mendengar luahan yang dibuat secara ‘live’ di Facebook tengah malam tadi sebelum terlihat kelibat seorang wanita merampas telefon milik deejay wanita berkenaan.

Katanya, sebelum itu menerusi live berkenaan, deejay terbabit memaklumkan bahawa dia tidak berpuas hati kerana majikannya tidak membayar gaji dan dipaksa bekerja di sebuah kelab Pulau Pinang.

“Ketika itu rakaman berkenaan ditonton lebih 4,000 orang yang turut berinteraksi dengan deejay yang menggunakan akaun Penang HeiHei Club DJ.

“Memasuki minit keempat rakaman tu, terdengar suara seorang wanita lain meminta supaya ia dihentikan sebelum telefon yang digunakan dirampas.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya kemudiannya menghantar mesej ke salah satu akaun yang dipercayai penyelia deejay terbabit. Namun saya diminta untuk tidak mencampuri urusan berkenaan,” katanya.

Justeru katanya, beliau meminta pihak berwajib khususnya polis menyiasat perkara itu kerana bimbang sesuatu yang tidak elok berlaku.

Menurutnya sebagai anggota masyarakat, orang ramai tidak harus membiarkan perkara seperti pergaduhan berlaku, apatah lagi membabitkan kegiatan salah di sisi undang-undang.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan perkara ini berlaku. Lebih 4,000 pelayar Facebook melihat secara langsung kejadian itu.
“Jadi saya minta polis menyiasat perkara ini dan saya bersedia untuk memberikan kerjasama berdasarkan apa yang saya lihat sendiri. Kita kena jadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan