Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di Singapura Sedia Bantu Pemandu Bas Wanita Pulang

by Wartawan

SINGAPURA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini, bersedia membantu seorang pemandu bas wanita warga Malaysia dilihat dalam klip video menyayat hati yang tular, untuk pulang menghadiri majlis pengebumian suaminya di tanah air.

Suruhanjaya itu memahami rayuan wanita terbabit yang tidak dapat menahan perasaan sedih selepas dimaklumkan mengenai kematian suaminya, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau telah berjaya pulang.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Muhammad Radzi Jamaluddin, berkata pihak suruhanjaya sentiasa bersedia membantu rakyat Malaysia yang terpaksa pulang akibat kecemasan, walaupun sekatan perjalanan ketat dikuatkuasakan di kedua-dua belah Tambak Johor susulan pandemik COVID-19.

Sejak 27 April lalu, rakyat Malaysia yang berhasrat pulang dari Singapura melalui jalan darat, dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh mereka berlepas.

“Jika kes kecemasan, kami akan melakukan yang terbaik untuk memberi tarikh tersedia kepada pemohon,” kata Muhammad Radzi.

Klip video tular dalam media sosial, malam kelmarin, menunjukkan seorang wanita warga Malaysia yang memandu bas No 189, tidak dapat meneruskan pemanduannya kerana terlalu sedih selepas menerima berita itu melalui panggilan telefon.

Beliau telah memberhentikan bas itu di perhentian bas Clementi dan menangis tidak terkawal sebelum dibantu insan prihatin dengan menghubungi pusat kawalan bas berkenaan.

Syarikat pengendali bas, Tower Transit turut berjanji memberikan bantuan penuh kepada wanita itu.

“Ia adalah masa sukar bagi wanita itu dan kami akan memberikan sokongan penuh serta ruang kepadanya untuk berkabung,” kata jurucakap Tower Transit kepada Bernama melalui e-mel.

Jurucakap itu berkata, selepas dimaklumkan oleh individu yang prihatin mengenai nasib menimpa wanita itu, syarikat berkenaan menghantar seorang pegawai untuk membantu beliau.

“Pegawai kami tiba tidak lama kemudian untuk membantunya, manakala seorang lagi pemandu bas pula memandu bas itu,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada insan prihatin yang berhenti untuk membantu wanita berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, ketika dihubungi berkata: “Beliau boleh kembali. Kenapa tidak?”

“Hanya selepas pengebumian, beliau perlu menjalani kuarantin. Setiap hari, kami membantu rakyat Malaysia pulang ke tanah air kerana kematian anggota keluarga,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu perlu mendaftar di pusat kuarantin Johor Bahru terlebih dahulu untuk menjalani saringan oleh kakitangan kesihatan dan ujian swab.

“Permohonan akan dibuat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sebaik saja diluluskan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan membawanya untuk menghadiri majlis pengebumian itu.

“Selepas upacara itu selesai, mereka akan menghantarnya ke pusat kuarantin terdekat.

“Contohnya, jika pengebumian itu di Selangor, beliau akan dibawa oleh APM Johor menghadiri pengebumian berkenaan dan kemudian dihantar ke pusat kuarantin di Selangor,” katanya.

Bernama masih berusaha untuk mengenal pasti pemandu bas itu dan tempat asalnya di Malaysia. – BERNAMA

Artikel Berkaitan