Sudah Masuk Generasi Ke-10, Ini 6 Kelebihan Honda Accord Yang Wajib Anda Tahu

by Ketua Pengarang

Honda Malaysia mengejutkan pasaran dengan melancarkan sedan eksekutif terunggulnya Honda Accord Generasi ke-10 Serba Baharu, baru-baru ini

Accord Serba Baharu ini meningkatkan penanda aras dalam segmen D dengan ciri-ciri elegan, premium dan prestasi terbaik.

Ia didatangkan dengan dua varian, 1.5 TC dan 1.5 TC-P, dan pilihan empat warna iaitu hitam mutiara, perak, kelabu dan putih mutiara. Harganya pula, bermula daripada RM185,900 (atas jalan tanpa insuran).

Namun, adakah anda tahu apa kelebihan Honda Accord? Ini 6 perkara yang baharu tentang kereta sedan eksekutif ini.

1. Rekaan Fastback

Kereta sedan D ini, mempunyai rekaan yang lebih luas, bumbung yang lebih rendah dan hud yang lebih panjang seperti sebuah kenderaan Fastback.

Ia menonjolkan postur yang bergaya dan anggun bersama Gril Depan Krom berkembar signatur Honda, Lampu Utama LED serta Lampu Belakang LED.

Melengkapkan bahagian luar maskulin Accord Serba Baharu ini ialah ciri yang bukan sahaja baharu tetapi juga unik. Accord terbaharu ini didatangkan dengan Rim Aloi 18-inci dengan Resonator, yang direka khas untuk mengurangkan bunyi bising tayar daripada masuk ke ruang kabin.

Dari segi dimensi, jarak antara roda untuk Accord Serba Baharu meningkat sebanyak 55 mm. Ia bukan sahaja memberi ruang kaki belakang yang lebih luas untuk penumpang, pada masa sama membantu untuk memberi kawalan pemanduan yang lebih cemerlang.

2. Berciri Mewah

Kemasan ruang dalamnya berada pada kelas tersendiri dengan sentuhan premium yang sempurna manakala penggunaan kulit untuk tempat duduk pula menambah keanggunan dan sofistikasi.

Digabungkan dengan pelbagai inovasi teknologi, Accord Serba Baharu memiliki banyak ciri praktikal tambahan yang pertama bagi model keluaran Honda Malaysia.

Terbaharu dalam kenderaan Honda di Malaysia adalah Tempat Duduk 4 Talaan Kuasa untuk penumpang dengan Butang Boleh Laras dan ciri Pengecas Tanpa Wayar untuk mengecas telefon, yang terletak dibahagian tengah konsol.

Selain itu, ia dilengkapi ciri Tempat Duduk Pemandu Dengan Memori yang membolehkan pemandu menetap dan mengakses kedudukan tempat duduk pilihan mereka dengan mudah.

Sedan eksekutif premium ini turut dilengkapi Monitor Perhatian Pemandu (Driver Attention Monitor) untuk bantu memantau dan memberi amaran apabila lencongan perhatian pemandu dikesan. Selain itu, ia juga mempunyai ciri ‘Walk Away Auto Lock’ dan Penghidup Enjin Kawalan Jauh.

Panel instrumen kini lebih premium dengan Paparan Audio Terkini berukuran 8-inci di bahagian tengah konsol, dan Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci. Ditambah dangan panel hiasan berkemasan tekstur kayu gelap, meningkatkan lagi prestij Accord Serba Baharu ini.

3. Kedapan Bunyi Dipertingkatkan

Bagi Accord Serba Baharu ini, Honda Malaysia menekankan kualiti pembuatan dari segi Bunyi, Getaran dan Kekerasan (Noise, Vibration and Harshness) untuk keselesaan maksimum serta suasana perjalanan yang lebih baik.

Accord Serba Baharu mengadaptasi teknologi Pateri Laser (Laser Brazing) untuk sambungan panel tepi bingkai-bumbung, menjadikannya lebih tahan lama, kemas dan menarik.

Buih Sembur (Spray Foam) pula digunakan untuk menyediakan penebat bunyi tambahan dan meningkatkan kesenyapan kabin.

Ia turut menggunakan Pelekat Berprestasi Tinggi (High-Performance Adhesive) bagi menambah baik struktur dan ketegaran fizikal kereta untuk daya tahan yang lebih baik. Pada masa sama, ia juga mengurangkan bunyi dan getaran, selain menambah baik keselesaan perjalanan serta pemanduan.

4. Enjin 1.5 Liter VTEC Turbo

Dari segi rangkaian kuasanya, ia dilengkapi enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang ditambah baik, menjadikan Honda pengeluar kereta Jepun pertama yang membawa enjin pengecas turbo kepada segmen D.

Enjin ini menyalurkan kuasa maksima 201PS, dengan tork maksimum mencecah 260Nm, jauh lebih berkuasa berbanding prestasi enjin 2.4L. Ia mampu mencatatkan tahap penggunaan bahan api sehingga 6.1L/100km serta boleh memecut sehingga 190 kilometer sejam.

Ini menjadikan Accord Serba Baharu bukan sahaja amat berkuasa, malah ia menjadi model Honda terbaharu yang diperakui dengan status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

5. Honda SENSING

Kereta yang dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP ini turut menawarkan teknologi keselamatan yang paling komprehensif dalam kelas sedan.

Ia kini dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda SENSING lengkap (hanya untuk varian paling tinggi iaitu 1.5 TC-P) iaitu:

  • Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
  • Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow)
  • Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
  • Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
  • Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System)
  • Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
  • Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
  • Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)

6. Ciri Keselamatan Baharu

Pada masa sama, proses untuk memarkir Honda Accord baharu ini juga lebih mudah dan pantas kerana ia kini dilengkapi Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (Belakang). Sistem ini mengesan garisan kotak parkir dan parkir akan dilakukan secara automatik; melalui ciri stereng automatik, paparan skrin, bimbingan suara serta bantuan brek automatik diaktifkan apabila ada halangan dikesan.

Kereta sedan eksekutif terunggul ini didatangkan dengan teknologi keselamatan tambahan yang baharu untuk Accord, seperti Sistem Kamera Pelbagai Pandangan dengan memaparkan titik buta sekeliling pada skrin navigasi, dan ‘Cross Traffic Monitor’ (CTM) yang menggunakan sensor radar untuk memantau sudut belakang kereta semasa membelakangkan kereta.

Satu lagi ciri baharu, ‘Electric Parking Brake with Brake Assist’ memudahkan penggunaan  brek letak kereta dengan sentuhan satu butang; ‘Brake  Assist’ membuatkan pemanduan dalam trafik henti-henti lebih mudah.

Semua ciri baharu itu melengkapkan ciri-ciri keselamatan sedia ada seperti ‘Honda  LaneWatch’ yang menambah baik pandangan sudut sambil mengurangkan titik buta.

Accord Serba Baharu hadir dengan ciri-ciri keselamatan standard merangkumi 6 Beg Udara, ‘Vehicle Stability Assist’ (VSA), ‘Anti-lock Braking System’ (ABS), ‘Electronic Brake Distribution’ (EBD), ‘Emergency Stop Signal’ (ESS), ‘Hill Start Assist’ (HSA), Sensor Parkir depan dan belakang dengan Kamera Belakang Pelbagai Sudut, dan ISOFIX tempat duduk belakang.

Dengan adanya pelbagai ciri baharu berteknologi canggih dan tanda harga yang kompetitif, Honda Accord generasi ke-10 adalah kenderaan sedan eksekutif segmen D paling berbaloi untuk dimiliki.

Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Accord Serba Baharu ini, layari laman web: www.honda.com.my. – 

Artikel Berkaitan