Semua Aktiviti Di Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan Dan KRT Dibatalkan Serta Merta – Halimah

by Ketua Pengarang

PUTRAJAYA, 18 Mac – Selaras Arahan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) mulai 18 hingga 31 Mac 2020, Kementerian Perpaduan Negara hari ini telah  semua 1,781 buah Tabika Perpaduan dan 41 Taska Genius Perpaduan di seluruh negara ditutup serta merta mulai hari ini.

Sehubungan dengan itu, Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique menasihatkan supaya semua ibubapa dapat memantau anak-anak masing-masing sepanjang tabika dan taska itu ditutup serta mematuhi arahan kerajaan supaya meminimakan pergerakan dengan tidak keluar rumah tanpa urusan penting.

“Saya juga telah mengarahkan agar semua aktiviti yang telah dirancang oleh 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara juga dibatalkan serta merta mulai hari ini, 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020.

Saya menasihatkan ibubapa atau ahli jawatankuasa KRT yang mempunyai sebarang kemusykilan supaya menghubungi Pegawai Jabatan Perpaduan Daerah yang berkaitan.

Saya juga mendoakan agar kita semua dilindungi serta dihindarkan daripada ancaman COVID-19,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media mala mini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menjelaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 dapat dikurangkan.

Beliau berkata menerusi perintah kawalan sehingga 31 Mac itu, rakyat tidak perlu bergerak ke sana sini sehingga boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.

“Virus ini berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan. Kalau saudari-saudari bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

Artikel Berkaitan