PRK Batu Sapi: SPR Akan Bermesyuarat Minggu Depan

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

SPR dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh PRK dan tarikh penting lain akan ditentukan dalam mesyuarat Selasa ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya memerlukan sedikit masa untuk bermesyuarat kerana kepemimpinan SPR perlu menjalani kuarantin selepas pulang mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

“Kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat minggu depan, selain perlu meneliti perkembangan penularan COVID-19 terlebih dulu sebelum menetapkan tarikh PRK Parlimen Batu Sapi.

“SPR tidak tergesa-gesa menetapkan tarikh kerana mempunyai tempoh 60 hari selepas dimaklumkan kekosongan Parlimen itu, selain akan mengelak faktor tidak diingini jika penularan COVID-19 mencapai tahap bahaya,” katanya kepada BH, hari ini.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.

Abdul Ghani mengesahkan SPRI menerima pemberitahuan daripada Dewan Rakyat berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Batu Sapi.

Ditanya kesediaan SPR mengadakan PRK Batu Sapi berikutan pendirian kerajaan tidak membenarkan kemasukan rakyat tempatan ke Sabah kecuali yang berasal dari negeri itu, Abdul Ghani berkata, larangan itu tidak menjejaskan operasi suruhanjaya berkenaan.

“SPR mempunyai keanggotaan yang cukup di Sabah untuk mengadakan PRK Parlimen Batu Sapi, kerana ia hanya membabitkan satu kawasan parlimen saja.

“Tambahan, ia berkait dengan perundangan. Selagi kerajaan tidak isytiharkan darurat dan ada kekosongan serta permintaan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, kita mahu atau tidak, perlu juga buat (PRK).

“Melainkan, kalau kerajaan mengisytiharkan kawasan berkenaan darurat, jadi ceritanya akan berlainan sedikit, tetapi untuk sekarang memang kita akan buat (PRK Parlimen Batu Sapi), Insya-Allah,” katanya.

Artikel Berkaitan