PKPB perlu untuk putuskan penularan COVID-19 di Selangor, KL, Putrajaya

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR, 12 Okt  — Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di  tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun kes baharu dicatatkan kurang dari 100 setiap hari, ia berselerak dan mula menular di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

Kerajaan tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon-zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bukan hanya bergantung kepada kes positif seharian tetapi juga perlu melihat kepada corak penularan jangkitan dalam sesebuah negeri.

“Jadi sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan jangkitan menular setiap daerah dalam negeri dan terus mencatat kes baharu secara berselerak di Selangor dan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Putrajaya), ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Sidang Khas MKN bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, daerah Petaling serta Gombak.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan PKPB itu juga bagi memutuskan penularan jangkitan rentas negeri secara lebih berkesan selepas mengambil kira kesukaran kawalan sempadan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini adalah tindakan lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

— BERNAMA

 

Artikel Berkaitan