Penasihat PM Langgar Perintah Berkurung COVID-19, Menteri Letak Jawatan

by Wartawan

LONDON: Barisan Kabinet Britain diketuai Perdana Menterinya, Boris Johnson, menerima tamparan apabila seorang menteri meletakkan jawatan.

Menteri Scotland, Douglas Ross, meletak jawatan sebagai bantahan terhadap perbuatan penasihat utama Johnson, Dominic Cummings, melanggar perintah berkurung dan melakukan rentas negara ketika krisis COVID-19.

Perkembangan itu dilihat mampu melemahkan usaha jemaah menteri yang cuba beralih daripada krisis politik sejak empat hari lalu, dengan Ross menegaskan beliau tidak dapat membenarkan Cummings terus memegang jawatannya.

“Saya sendiri tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga dikasihi, menyertai upacara berkabung keluarga, mengunjungi saudara yang sakit kerana mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Secara jujurnya, saya tidak dapat berlakon kepada orang ramai bahawa apa yang dilakukan penasihat kanan itu betul,” katanya dalam satu kenyataan Twitter yang mengumumkan peletakan jawatannya.

Tambah beliau, tafsiran Cummings mengenai peraturan kerajaan itu tidak dipersetujui majoriti rakyat.

Peletakan jawatan Ross turut menambah tekanan terhadap Cummings yang semalam mengadakan sidang media bagi menjelaskan perbuatannya.

Cummings bertindak memandu ke rumah ibu bapanya sejauh 425 kilometer bersama isteri dan anak lelakinya dari London ke Durham yang terletak di utara England, ketika Britain berdepan krisis hebat akibat COVID-19.

Sementara itu Downing Street mengatakan pihaknya ‘kesal’ dengan keputusan Ross untuk meletak jawatan. – AFP

Artikel Berkaitan