Konsep Istito’ah Kurangkan Beban Subsidi Haji

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan konsep istito’ah dalam usaha mengurangkan beban bantuan subsidi yang perlu ditanggung Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, ketika menyuarakan cadangan itu berkata, istito’ah atau kemampuan ialah sebahagian syarat diperuntukkan terhadap bakal jemaah haji.

“Sebagaimana kita tahu, kemampuan ialah sebahagian daripada syarat untuk melakukan haji. Justeru, antara makna kemampuan adalah berupaya ada kewangan.

“Maknanya kalau seseorang itu tidak cukup kos RM22,900 seperti ditetapkan, dia tidak mampu. Kita menerusi TH membantu mengurangkan beban mereka.

“Bagaimanapun, dari sudut fekahnya (pemahaman hukum Islam), kalau ikut betul-betul, dia hanya boleh pergi haji dalam keadaan mampu,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai perancangan Malaysia berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi bagi mengurangkan kos langsung haji, sekali gus meringankan bebanan ditanggung bakal jemaah.

Mujahid berkata, langkah pengurangan subsidi ditanggung TH wajar dilaksanakan kerana kos bantuan kewangan yang perlu disalurkan kepada setiap jemaah haji meningkat saban tahun.

Bagaimanapun, katanya, kos yang perlu ditanggung bakal jemaah haji muassasah di negara ini kekal pada kadar RM9,980.

“Persoalan ini akan diambil perkiraan penting kerana kita tidak boleh berterusan begini, (sebaliknya) kena fahamkan jemaah bahawa ibadat haji pada masa depan perlu menepati kaedah kemampuan.

“Ia sekali gus mengurangkan bebanan kos yang kita tanggung hampir RM400 juta untuk menambah RM12,920 kepada kos setiap bakal jemaah haji,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Mujahid dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama dikekalkan pada RM9,980.

Beliau berkata, TH berusaha menanggung subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang, berbanding RM22,450 pada musim haji lalu, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, TH menanggung subsidi lebih RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Artikel Berkaitan