Kehadiran Perodua MYVI GT 1.5 Memukau di KLIMS

by Ketua Pengarang

Kehadiran kereta Myvi keluaran Perodua ketika berlangsungnya Kuala Lumput International Motor Show (KLIMS) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini sangat menarik untuk diperkatakan peminat modifikasi kenderaan.

Model yang diasaskan dari versi tertinggi 1.5 Advance berkenaan diberi pelbagai sentuhan semula yang bukan sahaja nampak agresif, malah turut kelihatan sangat premium – namun ia bukan untuk dijual, hanya sekadar ‘show car‘ yang dibuat khas untuk KLIMS tahun ini.

Jika sebelum ini ramai yang mengatakan bahagian belakang Myvi kelihatan seperti Volkswagen Golf, menerusi versi GT ini, bahagian muka hatchback tersebut diberikan sentuhan seakan Golf GTI. Ia dibekalkan gril hitam berkilat dengan jalur merah merentanginya, kemudian jalur berkenaan kelihatan seakan bersambung dengan lampu hadapan.

Bahagian bampar direka begitu agresif dengan tiga bahagian liang udara yang besar bersama sepasang lampu LED melintang di atasnya, manakala splitter udara yang begitu lebar diletakkan pada bahagian bawah.

 Rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna hitam, dibaluti tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003 bersaiz 205/40R17 dilengkapkan pada Myvi GT ini. Apa yang lebih menarik perhatian adalah set brek Brembo pada keempat-empat roda yang begitu menyerlah, bersama cakera berliang yang ditebuk.

Namun dengan rim yang lebih lebar dan set brek yang lebih besar memerlukan set spacer dipadankan pada hab tayar tersebut, bagi mengelakkan rim bersentuh dengan angkup brek, dan secara tidak langsung menyebabkan ia terjojol keluar.

Jadi, Perodua telah memadankan set overfender pada keempat-empat ruang roda bersama skirt sisi yang lebih labuh. Dengan set spring yang merapatkan lagi badannya ke permukaan jalan, stance Myvi ini kelihatan begitu agresif lapor Portal pemotoran tersohor, Paultan.org hari ini.

Artikel Berkaitan