Gagal Jadi PM8, PKR Rangka #LangkahRawang Beri Laluan Kepada Anwar Ibrahim Jadi MB Selangor?

by Wartawan

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Belum puas dengan apa yang dihajatinya masih belum terlaksana, kini Presiden PKR dikatakan akan membuat langkah seterusnya untuk kekal relevan di dalam persona politik Negara dengan misinya terbarunya untuk menjadi Menteri Besar Selangor selepas gagal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Pengerusi Biro IT UMNO Selangor, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menjelaskan, niat Anwar ini diperolehi melalui maklumat dalaman PKR sendiri, yang mana hasrat Anwar yang tertangguh melalui Langkah Kajang untuk mengantikan Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2014, akan dibuat melalui Langkah Rawang selepas perayaan Aidil Fitri ini.

“Persoalannya, apa pendirian MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung #LangkahRawang ini dan bagaimana pula dengan kesediaan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat untuk melepaskan jawatan yang baru disandangnya selama 24 bulan untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim bertanding di sana.

Jika benar anak muda ini sedia melepaskan jawatan, apakah ‘habuan’ yang akan diperolehi anak muda ini dengan pengorbanan besar yang dibuatnya demi memenuhi hasrat presidennya nanti,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika dihubungi MalaysianView.

Tambahnya, perletakan jawatan Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii selepas tidak lagi yakin dan percaya kepada idealisme perjuangan serta hala tuju PKR ketika ini selain keluar daripada menjadi anggota PKR turut menguatkan desas desus keretakan dalam PKR sendiri akibat demi memenuhi ‘hasrat’ Anwar tersebut.

“Mungkin juga melihat satu demi satu negeri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan bertukar termasuk berita negeri Selangor juga dalam radar untuk beralih angin dalam kepimpinan kerajaan negeri kepada kerajaan Perikatan Nasional, mendesak Anwar dan PKR untuk mengambil langkah drastik mengantikan MB sedia ada, demi mempertahankan satu-satunya negeri pemerintahan PKR ketika ini.

Jadi, kita minta penjelasan MB, Amiruddin Shari dalam soal #langkahRawang ini, adakah dia bersetuju dengan tindakan tersebut dan mengheret rakyat sekali lagi ke medan Pilihan Raya Kecil, begitu juga ADUN Rawang,  Chua Wei Kiat adakah dia serius bersedia melepaskan jawatannya sebagai YB Rawang untuk Anwar Ibrahim.

Kita di pihak UMNO Selangor, akan terus memantau perkembangan yang berlaku dan tindakan selanjutnya akan dibuat melalui perbincangan di peringkat tertinggi parti,” tambahnya lagi. -MalaysianView

Artikel Berkaitan