COVID-19: Singapura catat kematian ke-28

by Ketua Pengarang

SINGAPURA, 13 Okt  — Singapura yang merekodkan empat kes baru COVID-19 pada Isnin, melaporkan satu lagi kematian akibat koronavirus, menjadikan jumlah kematian terkumpul setakat ini sebanyak 28 orang.

Kementerian Kesihatan republik itu (MOH), dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, memaklumkan kematian terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 64 tahun, penduduk tetap Singapura yang meninggal dunia di Hospital Umum Singapura.

Dikenali sebagai Kes No 57,960, kementerian itu memaklumkan lelaki berkenaan telah bekerja di India sejak Disember 2019 dan diserahkan dalam Notis Duduk Di Rumah (SHN) sewaktu kembali ke Singapura pada 23 Sept 2020.

Beliau disahkan menghidap jangkitan COVID-19 pada 4 Okt lepas dan mempunyai sejarah menghidap  hipertensi, menurut kementerian itu.

Kali terakhir, republik itu melaporkan kes kematian akibat COVID-19 ialah pada 14 Julai lepas dan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Setakat tengah hari semalam, sebanyak 57,728 kes COVID-19 telah pulih sepenuhnya dari jangkitan dan didiscaj dari hospital atau kemudahan rawatan awam.

Jumlah jangkitan COVID-19 di Singapura kini sebanyak 57,880 kes.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan