COVID-19: Demonstrasi bantah undang-undang tenaga kerja dibimbangi burukkan penularan di Indonesia

by Ketua Pengarang

JAKARTA, 7 Okt — Demonstrasi besar-besaran yang dirancang diadakan di ibu kota Jakarta esok bagi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja, dibimbangi akan memburukkan lagi penularan COVID-19 di Jakarta dan Indonesia.

Provinsi Jakarta setakat hari ini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 82,190 kes, tambahan 1,211 kes baharu dalam tempoh 24 jam, dan secara puratanya mencatatkan kes baharu harian sekitar 1,000 kes setiap hari, sejak akhir Ogos lepas.

Demonstrasi besar-besaran mahasiswa dan pekerja itu, dijadualkan berlangsung esok di depan Istana Negara, Jakarta, bagi membantah Undang-undang Omnibus Law Ciptaker yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lepas.

Menurut media tempatan yang memetik kenyataan Aliansi Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia dan Persatuan Buruh Indonesia, demontrasi itu akan bermula 10 pagi esok bagi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja itu, yang didakwa mengabaikan hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minima, dan pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.

Beberapa siri demonstrasi yang dihadiri beribu mahasiswa dan golongan pekerja, telah diadakan sejak semalam, di beberapa kota lain di Indonesia.

Ramai pihak kini bimbang demonstrasi berkenaan, akan memburukkan lagi penularan virus COVID-19 di Indonesia yang setakat hari ini mencatatkan 4,538 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini 315,714.

Berdasarkan data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 142,213 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 98 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 11,472 orang.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,350 orang, diikuti Jakarta (1,817), Jawa Tengah (1,462) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan