Belanjawan 2021: Kerajaan tak kompromi pastikan rakyat dilindungi – PM Muhyiddin

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat dilindungi, dan ini jelas dilihat melalui peruntukan tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 berbanding belanjawan negara yang pernah dibentangkan sebelum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menggubal sebuah belanjawan yang berprinsip melindungi  rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali dan menjamin masa depan mereka yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Muhyiddin berkata pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga untuk membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh. 

“Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion yang baru dibentangkan di Parlimen pada hari ini adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didukung teguh oleh kerajaan Perikatan Nasional. 

“Walaupun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali… ini merupakan tekad kerajaan dalam memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhyiddin berkata belanjawan itu juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat serta perniagaan, yang dirangka hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus. 

Selain itu katanya kerajaan juga komited dalam memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat, yang mana daripada jumlah itu, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dijangka memanfaatkan 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion. 

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa yang paling membimbangkan rakyat ialah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing. 

“Pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga bagi membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh. 

“Belanjawan 2021 ini juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN,” katanya.

Beliau berkata melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhan RM28 bilion telah disediakan oleh kerajaan, terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

“Kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki, justeru kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Sehubungan itu, kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Muhyiddin berkata Belanjawan 2021 mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan tanpa mengira kaum, ideologi dan pelosok negeri.

“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti,” katanya.

Demi kelangsungan perniagaan, beliau berkata kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

“Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur-pelabur asing dan domestik,” katanya.

Muhyiddin berkata antara fokus utama kerajaan ialah memastikan ketahanan ekonomi, yang mana kerajaan komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan sambil terus mengekalkan disiplin fiskal selain memastikan pemantapan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau berkata prinsip melindungi, melonjak kembali serta menjamin  juga bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

“Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi, dengan segala hasil kemakmuran negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah,” katanya.

Katanya Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia serta untuk memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama. 

“Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan