3 Inisiatif Baharu Untuk Ganti Bazar Ramadan di Kuala Lumpur ,Putrajaya dan Labuan

by Pengarang Kanan

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga kaedah baharu iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil (pack & pick) serta e-panggilan akan diguna pakai menggantikan penganjuran bazar Ramadan.

Menurutnya, bayaran fi lesen, cagaran dan caj perkhidmatan ke atas penjaja akan dipulangkan kepada permohonan yang telah diluluskan sebelum ini.

Tambahnya lagi bagi membolehkan warga WP mendapatkan juadah dan makanan serta membantu golongan penjaja yang terjejas berikutan pembatalan ini, KWP memperkenalkan tiga (3) kaedah baru untuk menjual makanan dan minuman, iaitu :

  1. Pandu Lalu (‘Drive Thru’)

 Bagi tapak yang sesuai dan tertentu, para penjaja akan disusun mengikut segmen dan satu susun atur yang sesuai bagi jualan secara pandu lalu. Semua makanan dijual secara siap bungkus (pre-packed). Kedudukan kanopi adalah dalam satu barisan di tengah jalan empat (4) lorong dengan jarak 20 meter di antara satu kanopi dengan kanopi yang lain. Kenderaan boleh bergerak secara perlahan di atas jalan untuk membeli juadah. Anggota penguatkuasa DBKL, PPj, PL dan Rela akan bertugas bagi melancarkan pergerakan trafik dengan memastikan hanya satu (1) kenderaan di setiap gerai bagi satu masa. Antara cadangan lokasi yang sesuai dilaksanakan setakat ini adalah di sepanjang Boulevard Presint 2, Putrajaya dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Perincian pelaksanaan konsep Pandu Lalu ini sedang diperincikan dan jumlah peniaga yang boleh menyertai cara ini akan ditentukan oleh PBT.

  1. Tempahan Awal, Bungkus dan Ambil (`Pack & Pick’)

 Orang awam boleh membuat tempahan awal menu makanan yang dipilih secara dalam talian (online) terus kepada peniaga. DBKL, PPj dan PL akan menyediakan platform bagi peniaga mendaftar perniagaan mereka. Dalam konteks ini, orang awam hanya perlu membuat tempahan dan pembayaran secara online atau e-wallet. Orang awam boleh terus mengambil makanan yang ditempah di tempat yang ditetapkan oleh DBKL, PPj dan PL. SOP penjarakan sosial (“social distancing”) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti dipatuhi semasa orang ramai mengambil makanan tersebut. Konsep ini sedang diteliti bagi memastikan kepatuhan 100 peratus garis panduan KKM.

 

  1. Penghantaran e-Panggilan (`e-Hailing’)

DBKL, PPj dan PL akan mendaftarkan para peniaga dengan syarikat penyediaan platform e-Panggilan (e-Hailing) contohnya Food Panda, Grab Food dan sebagainya. Pembeli hanya perlu membuat tempahan makanan melalui aplikasi tersebut dan makanan akan dihantar oleh penghantar ke pintu rumah pembeli. DBKL, PPj dan PL akan membuat penyelarasan secara bersama dengan syarikat yang menawarkan khidmat e-hailing ini. Dijangkakan lebih 20,000 petugas e-hailing akan terlibat.

Mengulas mengenai  Samada Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat atau bersambung, KWP berpandangan bahawa amalan penjarakan sosial dan garis panduan KKM mesti diteruskan bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan memastikan keselamatan rakyat WP katanya lagi. 

 

Artikel Berkaitan