BN Akan Beri Peluang Kepada MIC Untuk Bertanding Semula Di Cameron Highland

by Ketua Pengarang

KUALA LUMPUR, 2 Dis — MIC akan diberi peluang untuk bertanding semula kerusi Parlimen Cameron Highland, sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu diadakan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata parlimen berkenaan adalah kerusi tetap MIC dan BN amat hormati isu pembahagian kerusi seperti mana dipersetujui dalam konvensyen sebelum ini bersama-sama parti komponennya.

“Dalam hal ini, biarpun Presiden MIC belum umum siapa calonnya, tetapi adat politik, parti yang bertanding dan menang harus diberi peluang semula,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN bersama Anggota Dewan Negara lantikan parti itu di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi BN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi berkenaan.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Ditanya samada BN akan membuat rayuan bagi keputusan berkenaan, Ahmad Zahid berkata ia terserah kepada MIC.

Dalam perkembangan lain, mengenai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), Sabtu ini, beliau yang juga Presiden UMNO sahkan bahawa UMNO akan tetap sertainya.

Tambahnya, perhimpunan berkenaan berlainan dengan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya.

“Isu di Subang (kuil) ini tiada kena mengena dengan ICERD, kami tidak menggelarkannya  demonstrasi tetapi perhimpunan aman, dan saya telah sebutkan PAS juga sebutkan ia untuk raikan penolakan ratifikasi ICERD. Jadi tidak salah kita raikan kejayaan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan